Tuesday, April 28, 2009

Kursus Perkahwinan Siri Ke-4/2009

Pejabat Agama Islam Daerah akan mengadakan Kursus Pra Perkahwinan Siri Ke-4/2009 seperti berikut:

Tarikh : 9 & 10 Mei 2009
Masa : 8.00 Pagi - 5.00 Petang
Tempat : Pejabat Agama Islam Daerah Rompin
Bayaran : RM80.00 Sahaja (Makan & Minum Disediakan)

Jika berminat boleh menghubungi 09 - 4145242 (Pejabat)

Muat turun Aturcara Kursus Perkahwinan



Friday, April 24, 2009

Lain-Lain Aktiviti

Ceramah Perdana sempena Pesta Rompin 2008

Seminar Kepimpinan Dakwah Peringkat Daerah Rompin 2008

Kursus Penyembelihan

Sukaneka sempena Pesta Rompin 2008

Pertandingan Mewarna Tadika Islam sempena Pesta Rompin

Taklimat Keselamatan (Bomba) Program Dakwah Saudara Baru Orang Asli
Peringkat Daerah Rompin

Gotong-royong pembersihan kawasan kuaters lama Pegawai Agama Daerah Rompin



Monday, April 20, 2009

Aktiviti - Aktiviti Yang Dianjurkan PAID

Pertandingan Masjid Terbersih Peringkat Daerah Rompin

Pertandingan ini melibatkan semua masjid kariah Daerah Rompin yang diadakan sepanjang bulan Januari hingga Mac. Program ini akan diteruskan sehingga hujung tahun ini sebanyak empat kali pemilihan. Pada pemilihan bulan Januari hingga Mac telah dimenangi oleh Masjid Tanjung Gemuk. Pemenang akan menerima sijil dan wang saguhati sebanyak RM200.00.


Seminar Kemahiran Keilmuan Keibubapaan

Tarikh / Tempat:
23 Februari 2009 : Dewan Orang Ramai Felda Selendang

Seminar ini melibatkan ibu bapa dan juga bakal-bakal ibu bapa. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap masyarakat betapa pentingnya membina sebuah rumahtangga yang bahagia yang berteraskan kepada ajaran Islam. Ceramah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam, JAIP yang menyampaikan ceramah "Sayangi Keluarga Di Situ Bahagia". Al Fadhil Qhadi Daerah Rompin juga menyampai ceramah yang bertajuk "Tanggungjawab Ibubapa Terhadap Anak-Anak".


Ramah Mesra Dakwah

Tarikh / Tempat:
25-27 Februari 2009 : Kg Orang Asli Kemendol
2-4 Mac 2009 : Kg Orang Asli Bukit Lepas

Program ramah mesra dakwah ini diadakan bagi beramah mesra dengan saudara baru dan penduduk non muslim. Antara aktiviti yang yang diadakan seperti acara sukan , ziarah , pemeriksaan kesihatan, taklimat keselamatan polis / bomba dan jamuan rakyat.



Program Dakwah Riadah Antara Masjid

Tarikh / Tempat:
28 Februari & 1 Mac 2009 : Padang Futsall

Program ini diadakan sempena sambutan bulan dakwah peringkat Daerah Rompin yang melibatkan pertandingan inter-masjid. Sebanyak 11 buah masjid telah menyertai pertandingan tersebut. Masjid Al Hilal Kg. Sepayang telah menjadi johan dan masjid At Taqwa Kg. Sg. Putri muncul sebagai naib johan. Pemenang telah menerima wang saguhati dan hadiah iringan. Program ini telah mendapat sambutan yang menggalakan dan telah berjaya menarik belia dan golongan veteran bersama-sama turun padang untuk menjayakan program ini.




Seminar Pembangunan Akidah

Tarikh / Tempat:
10 Mac 2009 : Dewan Kolej Komuniti Rompin

Seminar ini melibatkan ketua-ketua jabatan, kepimpinan masyarakat serta NGO yang dijemput. Kerjasama dari Kolej Komuniti Daerah Rompin amat dihargai kerana menyediakan tempat seminar yang selesa. Seminar ini dirasmikan oleh Pegawai Daerah Rompin dan melibatkan pembentangan kertas kerja pertama yang bertajuk "Ahli Sunnah Wal Jamah" disusuli dengan pembentangan kertas kerja yang kedua yang bertajuk "Ajaran Yang Menyeleweng Dari Aqidah". Manakala pembentangan kertas kerja yang ketiga "Peranan Masyarakat Menangani Ajaran Yang Meragukan" pula dibentangkan oleh Pegawai Agama Islam Daerah Rompin.



Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Rompin

Tarikh / Tempat:
16 Mac 2009 : Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah

Sambutan Maulidur Rasul ini dihadiri oleh penjawat awam , pemimpin dan penduduk setempat. Majlis dimulakan dengan selawat ke atas Nabi secara beramai-ramai dan juga bacaan Al-Quran dan disusuli dengan ucapan perasmian Sambutan Maulidur Rasul oleh YAB Adun Tioman. Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah untuk Tokoh Maulidur Rasul Daerah Rompin Tahun 2009/1430 H, persembahan nasyid, penyampaian hadiah dan ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan penceramah cilik dari Indonesia, Adik Habiburrahman Bin Sidarman yang berusia 10 tahun. Majlis diakhiri dengan jamuan makan.




Jelajah Al-Muqarrabin

Tarikh / Tempat:
20 Mac 2009 : Masjid Daerah Rompin

Majlis ini diadakan sempena Bulan Dakwah Peringkat Daerah Rompin yang dianjurkan untuk seluruh lapisan masyarakat di daerah Rompin. Majlis dimulakan dengan gotong-royong di kawasan masjid Daerah Rompin dan pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah Al Muqarrabin yang disampaikan oleh Ust. Nik Ibrahim bin Nik Abdullah, Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang. Majlis diakhiri dengan solat isya' berjemaah dan jamuan makan malam.

Seminar Pengurusan Halal

Tarikh / Tempat:
9 April 2009 : Rompin Beach Resort

Seminar diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang penjualan produk halal khususnya kepada pengurusan premis-premis yang menjual/ menyediakan produk makanan kepada masyarakat Islam khususnya. Ceramah disampaikan oleh Al Fadhil Qadhi Daerah Rompin, Pegawai Kesihatan Daerah Rompin dan Ust. Nur Ridwan, Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang.



Thursday, April 16, 2009

Maklumat Perkhidmatan PAID

Pejabat Agama Islam Daerah memberikan perkhidmatan seperti:

- Mengeluarkan kebenaran berkahwin bagi pemohon yang ingin berkahwin di dalam dan di luar daerah

- Mengeluarkan Surat Perakuan Nikah bagi pasangan yang telah berkahwin dan mendaftar perkahwinan mereka di PAID

- Mengeluarkan Surat Perakuan Cerai bagi pasangan yang telah mendaftarkan perceraian mereka di PAID

- Mengeluarkan Surat Perakuan Ruju' bagi pasangan yang telah mendaftar ruju' mereka di PAID

- Memberi khidmat nasihat kepada pelanggan yang menghadapi masalah rumahtangga / keluarga

- Membuat siasatan dan tangkapan jenayah syarie ke atas setiap aduan

- Menyediakan kursus pra-perkahwinan kepada pasangan yang hendak berkahwin

- Menyediakan perkhidmatan sewa van jenazah mengikut peraturan yang ditetapkan

- Mengadakan ceramah agama mengikut jadual aktiviti dakwah yang ditetapkan

- Memberi perkhidmatan menentukan arah kiblat

- Menyediakan kelas-kelas KAFA

- Membuat pendaftaran Sekolah Agama Rakyat

- Membuat pendaftaran saudara baru (mualaf)

- Menyediakan perkhidmatan banci penduduk Islam

Piagam PAID

Piagam Pelanggan Pejabat Agama Islam Daerah

Beriltizam memberi perkhidmatan yang berkualiti dalam:

- Menerima dan menyelesaikan Aduan Kekeluargaan Islam dalam masa 1 bulan

- Menyiapkan Sijil Nikah, Ruju' dan Cerai dalam masa 1 bulan selepas menerima permohonan mendaftar

- Mencari dan menyiapkan salinan Sijil Nikah, Ruju' dan Cerai dalam masa 1 minggu selepas menerima permohonan

- Mengeluarkan surat kebenaran berkahwin untuk lelaki dan perempuan dalam masa 1 minggu

- Menerima dan menguruskan kemasukan Islam seseorang serta menguruskan kebajikan mereka dalam masa 3 bulan

- Mengeluarkan kebenaran mengajar dan penceramah Agama dalam masa 1 minggu selepas menerima permohonan

- Menentukan arah kiblat bagi tempat ibadah dan tempat yang difikirkan sesuai dalam masa 1 minggu

- Membuat penyiasatan kes jenayah dalam masa 1 bulan untuk dibawa ke Mahkamah Syariah

- Menyiapkan dan menghantar apa-apa laporan ke Jabatan Agama Islam Pahang dan mana-mana Jabatan dalam masa
2 minggu

- Memproses borang permohonan membaiki Masjid dan Surau serta menghantarnya ke Jabatan Agama Islam Pahang
dalam masa 2 minggu

- Menyiapkan dan memeriksa laporan tuntutan mengajar Kelas Fardhu Ain, Kelas Al-Quran Kanak-Kanak dan Takmir
Masjid/Surau dalam masa 15 hari

- Memberi kebenaran menggunakan kereta jenazah dalam masa 1 jam selepas menerima permohonan

Wednesday, April 15, 2009

Selamat Datang Ke Blog Pejabat Agama Islam Daerah Rompin (PAID)


Assalamualaikum waramatullahi wa barakatuh

Segala puji bagi Allah Subhanahu Wa Taala, Tuhan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam

Bersyukur ke hadrat ilahi akhirnya niat untuk menubuhkan sebuah blog untuk Pejabat Agama Islam bagi daerah Rompin ini tercapai juga. Tujuan penubuhan blog ini adalah untuk menyebarkan maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab Pejabat Agama Islam Daerah yang betanggungjawab melaksanakan segala perkara yang bersangkutan dengan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang Darul Makmur mengikut peraturan yang terkandung di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1991 ( Enakmen No. 3 Tahun 1991 ) dan Enakmen Undang-Undang keluarga Islam 1987 ( Enakmen No. 3 Tahun 1987 ).

Semoga blog ini menjadi salah satu sumber maklumat alternatif kepada umat Islam di Negeri Pahang khususnya Daerah Rompin selain daripada sumber laman web http://jaip.pahang.gov.my/ , bagi mendapatkan maklumat dan info berkaitan dengan Jabatan Agama Islam Pahang. Selain itu blog ini juga berperanan untuk melaporkan dan berkongsi dengan orang ramai mengenai aktiviti-aktiviti serta informasi yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Islam.