Monday, June 29, 2009

Kemurahan Hati Rasulullah SAW


Sayyidina Ali r.a. berkata : "Adalah Nabi SAW manusia yang bermurah tangan, manusia yang berlapang dada, manusia yang sangat benar pembicaraan, manusia yang sangat menepati janji, manusia yang teramat lemah-lembut kelakuan dan manusia yang sangat memuliakan kekeluargaan. Barangsiapa melihat Nabi SAW dengan tiba-tiba, nescaya takut kepadanya. Dan barangsiapa bercampur-baur dengan Nabi SAW dengan mengenalnya, nescaya mencintainya. Orang yang menyifatkan Nabi SAW berkata : "Tidak pernah aku melihat sebelumnnya dan sesudahnya orang seperti Nabi SAW"
Seorang lelaki telah meminta sesuatu dari baginda dan diberikan seekor kambing dan lelaki itu kemudiannya mengajak semua rakan-rakan dari kaumnya memeluk Islam.
Baginda tidak pernah berkata "tidak" apabila diminta sesuatu. Baginda tidak takut kepada kemiskinan.
Baginda diberikan 90,000 dirham dan dibahagi-bahagikannya sehingga habis.
Pernah baginda diminta sesuatu dan baginda tiada apa-apa tetapi demi memenuhi kehendak si peminta, Baginda SAW menyuruhnya membeli secara berhutang atas nama baginda dan baginda berjanji untuk melunaskannya.

Thursday, June 25, 2009

Mini Karnival Masjid Tengku Mahkota Abdullah



Mini Karnival Masjid Tengku Mahkota Abdullah ini diadakan sempena menyambut bulan Ramadhan. Mini Karnival ini akan diadakan pada 14 - 16 Ogos 2009 bermula jam 8.00 pagi - 12 malam. Mini Karnival ini dianjurkan oleh PAID Rompin dengan kerjasama AADK Daerah Rompin, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Pejabat Kesihatan Daerah Rompin. Diantara program yang dirancang sepanjang Mini Karnival berlangsung ialah:

  • 14.8.2009 - Jumaat

8.00 pagi : Pendaftaran Gerai Jualan & lain-lain gerai

1.00 petang: Solat Jumaat

4.45 petang: Solat asar

7.00 malam: Solat Maghrib/Kuliah maghrib/Solat Isyak

9.00 malam: Forum Perdana Islam (PENGHAYATAN RAMADHAN)

12.00 malam: Rehat

3.30 pagi: Qiamullail - Ustaz Nik Ibrahim b Nik Abdullah / Solat Subuh / Kuliah Subuh

  • 15.8.2009 - Sabtu

9.30 pagi: Pelancaran Mini Karnival

10.00 pagi: Acara Melukis untuk kanak-kanak Pra Sekolah / Sukaneka Pra Sekolah / Pemeriksaan Kesihatan Percuma / Pameran AADK & Kementerian Perdagangan Dalam Negeri

11.00 pagi: Penyampaian hadiah

12.00 t/hari: Rehat & Solat Zuhur

4.00 petang: Sukan / Perlawananan Persahabatan Futsal

5.30 petang: Penyampaian hadiah

6.30 petang: Solat Maghrib / Kuliah Maghrib / Solat Isyak

9.00 malam: Persembahan Kebudayaan Islam

12.00 t/malam: Rehat

  • 16.8.2009 - Ahad

9.00 pagi: Gotong Royong bersih kawasan masjid


Muslimin & Muslimat dijemput datang beramai-ramai ke Mini Karnival Masjid Tengku Mahkota Abdullah

Jangan Membangga Diri

Islam menuntut umatnya beramal dengan sifat tawadduk dan hormat menghormati sesama Islam dengan demikian akan lahirlah sebuah masyarakat Islam yang harmoni.

Dari sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Muslim,Rasulullah saw. bersabda bermaksud:

“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawadduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain”.(Riwayat Muslim) Huraian

Kedudukan orang Islam disisi Allah adalah sama sahaja tarafnya. Oleh sebab itu Islam melarang umatnya melakukan kezaliman dan hendaklah menjauhkan sifat-sifat keji seperti membesar diri, bermegah dan sebagainya.

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan yang tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menangani Gangguan Syaitan Ikut Syarak

Allah SWT berfirman dalam al-Quran menceritakan mengenai hakikat gangguan syaitan, contohnya surah al-Hijr ayat 33-42 , maksudnya: Iblis menjawab: "Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat yang kering, yang berasal daripada tanah kental yang berubah warna dan baunya." Allah SWT berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau daripada sekarang ke masa depan adalah (satu makhluk yang) diusir. "Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus menerus sehingga ke hari kiamat.". Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)."

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dengan permohonan itu, maka sesungguhnya engkau daripada golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari � masa yang termaklum." Iblis berkata: "Wahai Tuhanku! kerana Engkau sudah menjadikanku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali di antara zuriat Adam itu hamba-Mu yang dibersihkan daripada sebarang syirik." Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya. Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa yang menurutmu daripada orang yang sesat (dengan pilihannya sendiri).

Bagi kalangan pentafsir al-Quran, contohnya Ibn Kathir dalam Sahih tafsir Ibn Kathir, menjelaskan apa yang kita dapat pelajari daripada ayat ini bahawa iblis sudah berazam untuk mengganggu dan menyesatkan manusia hingga menyebabkan mereka mencintai melakukan maksiat serta menyebabkan mereka merasai gelisah. (Lihat Terjemahan Sahih Tafsir Ibn Kathir, cetakan Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, jilid 5, hlm 107-108 )

Dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim, kerja iblis ialah untuk menghancurkan manusia, bahkan syaitan yang berupaya menyebabkan perceraian antara suami isteri adalah syaitan yang paling disayangi oleh ketuanya, iblis. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya iblis membina singgahsana di atas air lalu mengutuskan bala tenteranya, maka yang paling tinggi kedudukannya di sisinya ialah yang paling teruk fitnahnya. Maka akan datanglah seseorang mereka lalu melaporkan kepada iblis aktivitinya, bahawa aku telah melakukan sekian sekian, lantas jawapan iblis, tidak kau tidak buat apa-apa! Kemudian datang yang berikutnya mengatakan aku tidak tinggalkan urusanku sampai aku menyebabkan mereka bercerai-berai suami dan isterinya! Jawab Iblis: Ya, mari sini duduk dekat denganku! Engkaulah yang aku hendak!

Ada banyak ayat lain dan hadis daripada pelbagai sumber yang menunjukkan gangguan syaitan kepada manusia, termasuklah usahanya mencucuk perut bayi yang masih kecil untuk menyakitinya supaya ayah dan ibu bayi itu terganggu sehingga mereka tidak dapat tidur dan terlepas solat Subuh. Dalam perkembangan yang lain pula, mereka akan pergi mendapatkan anjuran dan rawatan golongan ahli sihir.

Lantaran itu Nabi SAW membacakan doa pelindung "U'izukuma bikalimatilLahit tammati min kulli syaitanin wa hammah, wamin kulli ainin lammah" yang bermaksud: "Aku mohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna buat kamu berdua (Hasan dan Husin) daripada gangguan syaitan dan binatang bahaya dan daripada pandangan mata yang jahat. Munajat ini dipanjatkan oleh Nabi buat kedua cucu Baginda Hasan dan Husin daripada gangguan syaitan.

Ini sebagai satu saranan buat ibu bapa agar sentiasa mendapatkan perlindungan Allah SWT dalam menghadapi kerenah gangguan makhluk halus. Cuma menghadapi gangguan makhluk halus yang terdiri daripada jin dan syaitan ini, manusia terbahagi kepada dua iaitu yang bersabar lalu berusaha mendapatkan rawatan yang dibenarkan dalam perspektif syarak dan yang kedua, yang mencari penyelesaian menerusi bomoh, pawang , dukun dan sebagainya.

Nabi SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Abu Daud yang bermaksudnya: "Sesiapa yang berjumpa dengan bomoh lalu membenarkan kata-katanya, maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Nabi SAW (Riwayat Ahmad no 9784 , Abu Daud no 3904 )

Sebenarnya bagi menghadapi gangguan syaitan dan jin ini, Nabi saw sudah meninggalkan bekal yang amat mujarab yang akan memberikan kesan paling maksimum kepada gangguan itu sendiri iaitu (sila rujuk Perisai Muslim, terjemahan Dr Ab Basit hlm 120, cetakan Telagabiru Sdn Bhd):

1. Mengucapkan ta'awwuz iaitu A'uzubilLahi minassyaitanirrajim.

2. Melaungkan azan jika gangguan itu berlaku di hadapan kita contohnya histeria.

3. Membacakan ayatul Kursi dan zikir yang nabi ajarkan.

Cuma masalah timbul adalah keberkesanan bacaan ini apabila dilakukan mereka yang kurang amalan. Cantiknya bandingan yang dikemukakan Ibnul Jawzi dalam Talbis Iblis ialah orang yang tidak beramal ini bandingan-nya seperti seorang yang tidak biasa bermain senjata. Kelak apabila dia terpaksa menggunakan senjata maka dia akan menghadapi masalah kerana tidak berlatih menggunakannya. Demikian apabila Muslim tidak biasa beramal dengan amalan ma`thur ini dibimbangi baca-annya ketika ditimpa musibah itu tidak akan berkesan.

Apabila keadaan ini berlaku, seseorang itu hendaklah menemui orang salih yang berkeahlian untuk menangani gangguan itu. Jangan sesekali mendampingi orang yang disangka ahli padahal dia memakan harta manusia teraniaya secara zalim. Carilah penyelesaian menurut jalan yang dibenarkan oleh syarak, sekalipun ia memerlukan jalan yang agak panjang, kerana matlamat kita adalah mencari keredaan Allah SWT, bukan semata-mata untuk bebas dari ujian yang ditakdirkan berlaku untuk keampunan dosa, tapi menyebabkan kita derhaka. Bagi yang ditimpa gangguan, anggaplah ia adalah ujian untuk penghapusan dosa dan usahakan mencari rawatan yang dibenarkan syarak dengan merujuk kepada ustaz, imam dan ahli agama sebelum kita berjumpa dengan pawang atau bomoh.

99 Ke Arah Kesempurnaan Iman

01. Bersyukurlah sikit apabila mendapat nikmat;

02. Sabar apabila mendapat kesulitan;

03. Tawakal apabila mempunyai rencana / rancangan ;

04. Ikhlas dalam segala amal perbuatan;

05. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan;

06. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan;

07. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan;

08. Jangan usil dengan kekayaan orang;

09. Jangan hasad dan iri atas ke jayaan orang ;

10. Jangan sombong kalau memperoleh kejayaan ;

11. Jangan tamak kepada harta;

12. Jangan terlalu menghendaki akan sesuatu kedudukan;

13. Jangan hancur karena kezaliman ;

14. Jangan goyah karena fitnah;

15. Jangan berkeinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri.

16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram;

17. Jangan sakiti ayah dan ibu;

18. Jangan usir orang yang meminta-minta;

19.. Jangan sakiti anak yatim;

20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar;

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil;

22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid);

23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyu ;

24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjamaah di masjid;

25. Biasakan shalat malam;

26. Perbanyak dzikir dan do'a kepada Allah;

27.. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat;

28. Sayangi dan santuni fakir miskin;

29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah;

30. Jangan marah berlebih-lebihan;

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan ;

32. Bersatulah karena Allah dan berpisahlah karena Allah;

33.. Berlatihlah untuk banyak berfikir ;

34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila karena sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi;

35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan;

36. Jangan percaya ramalan manusia;

37. Jangan terlampau takut miskin ;

38. Hormatilah setiap orang;

39. Jangan terlampau takut kepada manusia;

40. Jangan sombong, takabur dan besar kepala;

41.. Berlakulah adil dalam segala urusan ;

42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah;

43.. Bersihkan rumah dari patung-patung berhala;

44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran;

45. Perbanyakkan silaturrahim;

46.. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam;

47. Bicaralah secukupnya;

48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya;

49. Hargai waktu, disiplin waktu dan manfaatkan waktu;

50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur;

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit bathin;

52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga;

53. Makanlah secukupnya, tidak kekurangan dan tidak berlebihan;

54. Hormatilah kepada guru dan ulama;

55. Sering-sering bershalawat kepada nabi ;

56. Cintai keluarga Nabi saw;

57. Jangan terlalu banyak hutang ;

58. Jangan terlampau mudah berjanji;

59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara;

60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti bercakap-cakap yang tidak berguna;

61. Bergaul lah dengan orang-orang soleh;

62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar;

63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu;

64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita;

65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi;

66. Jangan membenci seseorang karena pahaman dan pendiriannya;

67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita;

68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan

69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang mendapatkan kesulitan .

70. Jangan melukai hati orang lain;

71. Jangan membiasakan berkata dusta;

72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian;

73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab;

74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan;

75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita

76. Jangan membuka aib orang lain;

77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berjaya dari kita ;

78. Ambilah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana;

79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan;

80. Jangan sedih karena miskin dan jangan sombong karena kaya;

81. Jadilah manusia yang selalu bermanfaat untuk agama,bangsa dan negara;

82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain;

83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara;

84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa;

85. Hargai kejayaan dan pemberian orang ;

86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan;

87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan.

88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan k emamapuan diri kita;

89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan jasmani atau fikiran kita menjadi terganggu;

90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana;

91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita;

92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina;

93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya;

94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban;

95. Sambutlah huluran tangan setiap orang (pastikan aurat) dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan ;

96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri;

97. Waspadalah akan setiap ujian, cobaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan;

98. Yakinlah bahwa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan;

99. Jangan berjaya di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.

Wednesday, June 24, 2009

Kursus Pengurusan Jenazah






Kursus Pengurusan Jenazah anjuran PAID Rompin telah diadakan pada 20 Jun 2009 bertempat di Kg Genting, Pulau Tioman. Kursus ini dihadiri oleh penduduk Kg Genting & bermula pada jam 9.00 pagi di Masjid Kg Genting. Kursus ini dikendalikan oleh Haji Abd Rahim b Omar yang mana ia turut dihadiri oleh Qadhi Daerah Rompin Tuan Adnan b Mamat, Ketua Penolong Qadhi Daerah Rompin Ustaz Mohd Nor b Senawi & Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam (Unit Pengurusan Masjid & Surau) Ustaz Mohd Hasan b K. Abdul. Kursus ini memberi pendedahan kepada penduduk setempat cara pengurusan jenazah yang betul merangkumi cara memandikan jenazah & cara mengkafankan jenazah.

Seminar Pengurusan Halal






Seminar Pengurusan Halal anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Rompin & Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah diadakan pada 3 Jun 2009 bertempat di Rompin Beach Resort bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 1.00 petang. Seminar ini dihadiri oleh orang awam terutamanya peniaga kedai makanan, hotel & tempat penyembelihan. Seminar ini merupakan siri ke 2 yang mana ia diadakan sempena Program Kerohanian. Penceramah bagi seminar ini terdiri daripada Qadhi Daerah Rompin, Pegawai Kesihatan & Pegawai dari Bahagian Penyelidikan JAIP. Seminar ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Haji Zakaria b Mohamad & Pegawai Daerah Rompin, YH Dato' Mohamad Roslan b Harun, DIMP.,SMP. Majlis Penutup dirasmikan oleh Pegawai Daerah Rompin.

Program Kerohanian Sempena Rompin Fest 2009

Program Kerohanian Sempena Rompin Fest 2009 anjuran Pejabat Agama Islam Daerah Rompin, Prima Gemilang & Majlis Daerah Rompin diadakan pada 4 Jun 2009 bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam. Ia turut mendapat kerjasama dari Jabatan Perpaduan Daerah Rompin & Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah Rompin. Sepanjang program ini berlangsung, semua urusetia yang terdiri daripada kakitangan PAID Rompin, Jabatan Perpaduan & AADK memakai t-shirt berwarna oren. Program Kerohanian ini menganjurkan beberapa program kecil iaitu:
  • Pertandingan Mewarna bagi Kanak-Kanak berusia 5 - 12 tahun.
  • Sukaneka Ibu Bapa
  • Sukaneka Kanak-Kanak
  • Motivasi Remaja
  • Forum Perdana & Persembahan Nasyid

PERTANDINGAN MEWARNA

Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak yang berusia 5 -12 tahun menarik penyertaan seramai 160 orang kanak-kanak dari seluruh daerah Rompin. Pertandingan bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 10.30 pagi. Pertandingan ini terbahagi kepada 3 kategori iaitu kategori kanak-kanak, kategori kanak-kanak berusia 7 - 9 tahun dan kategori kanak-kanak berusia 10 - 12 tahun.



SUKANEKA IBU BAPA
Sementara pertandingan mewarna berlangsung, sukaneka ibu bapa dijalankan oleh kakitangan PAID Rompin. Sukaneka ini bukan sahaja disertai oleh orang awam, malah ia turut disertai oleh kakitangan PAID Rompin. Di antara sukaneka yang dijalankan ialah:
  • Balingan manja
  • Woodball
  • Boling Kelapa
  • Lari Dalam Guni
SUKANEKA KANAK-KANAK
Setelah Pertandingan Mewarna selesai, sukaneka kanak-kanak diadakan. Di antara sukaneka yang diadakan:
  • Tiup Belon
  • Rebut Gula-Gula
  • Cari Gula-Gula Dalam Tepung.

MOTIVASI REMAJA BERSAMA USTAZ AKHWAN AFENDI
Pada sebelah petang bermula jam 2.00 petang sehingga 4.30 petang, PAID Rompin dengan kerjasama Prima Gemilang menganjurkan Motivasi Remaja bersama penceramah motivasi Ustaz Akhwan Afendi. Program ini disertai oleh pelatih Giat MARA Daerah Rompin, pelatih Sukan Angkat Berat Daerah Rompin & remaja lain dari daerah Rompin. Sepanjang program itu berlangsung, remaja tidak melepaskan peluang untuk berkongsi pandangan bersama dengan penceramah.



FORUM PERDANA & PERSEMBAHAN NASYID.
Kemuncak Program Kerohanian adalah Forum Perdana Bersama Ustaz Akhwan Afendi & Persembahan Nasyid oleh Kumpulan Nasyid In-Team. Forum Perdana bermula pada jam 9.00 malam & berakhir pada jam 11.30 malam. Program ini menarik kehadiran penduduk dari seluruh daerah Rompin & turut dihadiri oleh YB Adun Tioman, Kapten (B) Tuan Haji Johari b Haji Husin. Kumpulan Nasyid In-Team menyampaikan rangkaian lagu popular mereka. Majlis itu diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh YB Adun Tioman kepada Ustaz Akhwan Afendi & Kumpulan In-Team.

Wednesday, June 3, 2009

Saf Lurus Satu Daripada Kesempurnaan Solat Berjemaah

Antara perkara yang amat diambil berat dalam soal peraturan solat berjemaah ialah lurusnya saf, malah ia salah satu daripada kesempurnaannya. Dalam hadis sahih, Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: “Luruskan saf, kerana ia adalah kesempurnaan mendirikan solat.” (Al-Bukhari no 723, Muslim no 1003).

Dalam hadis diriwayatkan oleh Ibn Majah, ada tambahan, iaitu jika kamu tidak meluruskan saf, maka Allah SWT akan mewujudkan perselisihan pada hati-hati kamu. Dalam riwayat Ahmad pula, Nabi memberitahu kita, saf yang tidak dirapatkan antara bahu-bahu itu akan mengakibatkan kemasukan syaitan di antaranya, lalu ia merosakkan solat kamu (menghilangkan rasa khusyuk) (Riwayat Ahmad no 22317).

Malah, ketegasan lebih jelas apabila Nabi saw bersabda bermaksud: “Jangan sampai aku melihat celahan antara saf-saf.” (Riwayat al-Tabarani dalam al-Kabir no 11453).

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat membuat kesimpulan berikut:

- Tuntutan merapatkan saf dalam solat dan larangan keras memutuskannya.

- Doa kehilangan keberkatan pada orang yang memutuskan saf atau menyebabkannya menjadi bengkok.

- Akan timbul perselisihan pada hati-hati mereka.

- Menyebabkan tidak dapat pahala berjemaah kerana terputus saf dengan jemaah yang lain.

- Sekiranya dilakukan dengan sengaja, ia haram kerana menyebabkan jemaah yang berada di samping kita turut tidak memperoleh pahala berjemaah yang dijanjikan dalam hadis-hadis yang sahih. Kewujudan tiang yang menghalang saf bercantum adalah suatu yang dimaafkan kerana ia adalah suatu yang tidak dapat dielakkan.

Imam bertanggungjawab memberitahu makmum kewajipan meluruskan saf kerana ia adalah amalan Nabi SAW.

Dalam perkara kedua pula iaitu amalan membawa anak-anak ke masjid adalah suatu perkara yang amat digalakkan. Dalam banyak hadis sahih menunjukkan Nabi SAW menyegerakan solat apabila mendengar tangisan bayi kerana bimbang bahaya terhadapnya. Ini menunjukkan sahabat turut membawa anak bersolat berjemaah di masjid bersama Nabi SAW. Demikian pula Nabi SAW pernah ditunggangi oleh cucu baginda ketika sedang sujud hingga menyebabkan baginda melambatkan rukun berikutnya.

Berpandukan hadis ini, kalangan ulama meletakkan garis panduan tertentu untuk menjaga kepentingan roh solat agar sentiasa ada khusyuk dan selamat daripada najis yang boleh disebabkan oleh anak, antaranya:

- Kanak-kanak itu sudah pun mumayyiz.

- Anak itu diletakkan dalam saf khas dalam kebanyakan sistem yang diguna pakai di masjid .

- Kewajipan ibu bapa atau imam memberi ingat kepada jemaah kanak-kanak agar berakhlak mulia ketika di masjid, terutama ketika solat berjemaah.

Ini antara adab penting yang mesti diikuti oleh umat Islam bagi melahirkan jemaah berkualiti yang menjadi objektif utama solat jemaah disyariatkan.

Nikmat Sedekah

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka.

Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila saja membuka cerita sebegini.

Saya secara peribadi mengenali beberapa individu dermawan seperti Datuk Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad dan ramai lagi.

Ketika saya pulang ke Malaysia dua minggu lalu, tatkala berbual dengan Ustaz Zahazan di syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan Mohd Hassan yang juga pengasas al-Ikhsan Sport Sdn Bhd.

Jualan syarikat ini dikatakan mencecah RM100 juta setahun dengan cawangannya yang berjumlah 58. Apabila ditanya rahsia kejayaannya, beliau menjawab, amalkan tiga perkara:

1. Penuhi hak Allah SWT tanpa berkira-kira (iaitu zakat sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).

2. Jalankan tanggung jawab pada masyarakat.

3. Ramai yang belum mampu melakukan iaitu penuhi hajat ibu, walaupun saudara terpaksa mengorbankan banyak kepentingan.

Memang benar, jawapan yang hampir sama sering saya dengar daripada usahawan Muslim yang berjaya. Sumbangan mereka dibuat secara senyap-senyap.

Segala pujian bagi Allah SWT dan tahniah di atas sumbangan dan sedekah mereka.

Namun begitu, jumlah golongan ini belum cukup besar. Masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang. Kita sewajarnya lebih laju daripada hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.

Kita juga sewajarnya lebih sedar, menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedekah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki daripada Allah SWT.

Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi SAW: “Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedekah,” (riwayat Muslim). Kini, ramai merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan berkurangan.

Malah, ia turut dirasa hartawan bukan Islam seperti Bill Gates. Beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dulu (namun saya gagal mencari keratannya).

Jangan beralasan

Jika mereka berasakan nikmat kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula? Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau bilionair untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan, sesuai dengan kemampuan kita.

Walau ada kalanya kita tidak layak membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan lebih besar daripada pendapatan, jangan sesekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang.

Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya. Juga ingatlah, derma daripada seseorang yang sedikit harta lebih besar ganjarannya daripada derma individu yang besar hartanya.

Satu hadis menyebut: “Sedekah paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikeluarkan dalam keadaan sedikit harta.” (Riwayat Ahmad 5/178; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)

Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut’ mencela apabila sedekah diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa segera.

Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat mengharapkan untung berganda selepas dimotivasikan oleh ustaz bersedekah boleh menambah keuntungan.

Justeru, apabila tiada pertambahan, dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedekah yang pernah di lakukan dulu sebagai silap dan salah.

Ingatlah firman Allah SWT: “Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka.

“Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Al-Baqarah: 262)

Lihat dan fahami sedalam-falamnya erti yang tersurat pada ayat berkenaan. Setiap pemberian sedekah mestilah diiringi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.

Bukankah pakar motivasi sedunia, malah doktor menyatakan antara faktor yang boleh memberi kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG TEKANAN dan hati yang gembira.

Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa selain tenaga dengan rela serta reda. Nescaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat manakala idea pula bercambah.

Bukankah Allah SWT yang menggerakkan hati dan minda manusia lain, sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu serta ini, memberi kepercayaan untuk tugasan baru yang lumayan dan pelbagai lagi.

Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah SWT, nescaya Dia akan menunaikan sangkaan baik kita.

Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedekah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajak orang kepada kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.

Nabi Muhammad SAW berdialog dengan sahabat seperti berikut:

Nabi berkata: “Pada setiap Muslim tuntutan untuk bersedekah.”

Sahabat berkata: “Bagaimana jika tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Usahalah dengan kedua-dua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedekahlah.”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu).”

Sahabat bertanya: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka daripada kemungkaran.”

Sahabat bertanya lagi: “Bagaimana jika masih tidak mampu?”

Nabi menjawab: “Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedekah.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan

Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikirkan cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya. Ya, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG.

Siang, malam, pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan sehingga ingin saja dilanggar semua jalan yang berpotensi walau ia haram atau syubhat.

Yang penting dalam mindanya adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh pengumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.

Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG atau SEDEKAH WANG.

Bukankah memberi ini demi kehidupan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya. Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.

Ambil contoh Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan katanya ini:

“Kita hidup dalam masyarakat ‘saya, saya, saya’ dan sangat penting bagi saya untuk memikirkan mengenai keperluan orang lain.”

Lalu apa lagi alasan kita sebagai Muslim, bersedekahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak?

Atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara pentingkan diri tanpa sebarang pemberian?