Tuesday, May 19, 2009

RM110 Juta Bina Hospital Rompin

Pada 18 Mei 2009 yang lalu seluruh kakitangan awam daerah Rompin termasuk kakitangan PAID telah dijemput menghadiri majlis pecah tanah tapak Hospital Rompin di Kampung Kolam yang disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan menandatangani plak pelancaran. Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin.

Sebanyak RM110 juta diperuntukkan untuk membina Hospital Rompin yang dijangka siap menjelang akhir November 2011. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, projek hospital itu diluluskan kerajaan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Beliau berkata, keputusan kerajaan untuk membina hospital itu selaras dengan objektif kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Hospital itu bakal dibina atas tapak seluas 7.740 hektar yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Pekan Kuala Rompin. “Hospital Rompin adalah hospital tanpa pakar dan skop perkhidmatan yang disediakan ialah perkhidmatan pesakit luar am, rawatan kecemasan, kepakaran secara lawatan, pesakit dalam dengan kemudahan 60 katil. “Turut dilengkapi pusat hemodialisis, perkhidmatan X-ray, fisioterapi, farmasi dan perkhidmatan sokongan lain yang berkaitan,” katanya.

Menurutnya, projek hospital itu turut menyediakan kemudahan penginapan untuk anggota sebanyak 44 unit kuarters kelas D, F, G dan kemudahan 20 bilik asrama jururawat. Rosnah berkata, kementerian amat maklum bahawa sebuah lagi hospital diperlukan di Kuala Rompin berikutan daerah itu yang luas, selain hospital sedia ada iaitu Hospital Muadzam Shah yang terletak jauh daripada pusat pentadbiran. “Selain kepadatan penduduk yang bertambah di daerah ini, ia sudah tentu memberi kesukaran kepada penduduk untuk menerima rawatan tambahan pula terdapat jeti Tanjung Gemok yang menjadi pintu masuk utama ke Pulau Tioman,” katanya.

Menurutnya, seramai 58,030 pesakit pada tahun lalu mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Rompin, Klinik Kesihatan Tanjung Gemok dan Klinik Kesihatan Tekek.

No comments:

Post a Comment