Monday, April 29, 2013

Prosedur perkahwinan menyusahkan??????

Situasi di Pejabat Agama Islam Daerah :

Pelanggan : Encik, saya nak hantar borang kawin anak.


Petugas Kaunter: Biar saya semak dulu borang ni ye.. (Petugas Kaunter menyemak satu persatu keperluan borang & mendapati ada yang tidak lengkap) Maaf puan, borang ni tak lengkap lagi,salinan sijil perakuan nikah ibu bapa tak ada, salinan sijil kematian datuk pun tak ada.

Pelanggan : Eh kenapa pula nak sijil kematian datuk & sijil nikah saya?


Petugas Kaunter : Begini puan, yang menjadi wali anak puan ni adik beradik lelaki seibu sebapa kan? bila anak lelaki yang menjadi wali, memang kita perlukan surat kematian datuk dan surat perakuan nikah ibu bapa. Kita nak pastikan wali tu mengikut turutan yang betul & nak elak masalah wali anak tak sah taraf.

Pelanggan : Kenapa sekarang ni susah sangat nak kahwin, saya dulu tak ada pun nak minta itu ini masa nak kawin, terus je pegi jumpa jurunikah, abih cerita. (Pelanggan dah mula naik angin)

Situasi di atas sering kali berlaku di Pejabat Agama Islam Daerah, adakah benar prosedur perkahwinan sekarang menyusahkan pelanggan?

Sebenarnya tidak, prosedur yang telah ditetapkan adalah mengikut syara' dan juga keperluan maslahah ummah itu sendiri.

Seringkali keperluan salinan sijil perakuan nikah ibu bapa menjadi pertikaian pelanggan. Keperluan itu sebenarnya adalah untuk mengelak daripada berlaku anak perempuan yang berkahwin itu anak tidak sah taraf atau wali adik beradik lelaki seibu sebapa itu sendiri anak tidak sah taraf. Apabila berlaku keadaan tersebut, perkahwinan tersebut tidak sah & perlu difaraqkan dengan perintah mahkamah.

Disinilah peranan Pejabat Agama Islam Daerah dan juga JAIN sendiri untuk memberi pemahaman & penerangan kepada masyarakat. Masyarakat umumnya tidak nampak kepentingan sijil perakuan nikah apabila diperlukan oleh Pejabat Agama Islam Daerah. Kurangnya pemahaman masyarakat terutama berkaitan dengan pengiraan nasab anak mengikut bulan hijrah & tidak ketinggalan ingin merahsiakan perkara tersebut daripada pengetahuan anak kerana bimbang anak malu merupakan antara sebab masyarakat enggan memberi kerjasama. Masyarakat tidak didedahkan dengan hukum apabila berlaku anak tidak sah taraf berkahwin & wali yang merupakan anak tidak sah taraf menjadi wali kepada perempuan yang ingin berkahwin.

Apabila pemohon perempuan@bakal pengantin perempuan itu sendiri menjadi anak tidak sah taraf, secara automatik bapa & semua wali sebelah bapa adalah tidak boleh menjadi wali kepada perkahwinannya. 
Permohonan berkahwin bakal pengantin perempuan tersebut perlu dilanjutkan kepada pihak Mahkamah Rendah Syariah Daerah bagi mendapatkan perintah daripada hakim bagi membenarkan jurunikah menjadi wali sultan kepada bakal pengantin perempuan. Hanya setelah mendapat kebenaran daripada Hakim Mahkamah Rendah Syariah, barulah perkahwinan itu boleh diteruskan.

Apabila wali itu merupakan adik beradik lelaki seibu sebapa kepada bakal pengantin perempuan merupakan anak tidak sah taraf, wali itu tidak boleh menjadi wali kepada bakal pengantin perempuan dan hak wali akan berpindah kepada adik beradik lelaki seibu sebapa yang lain. Sebagai contoh, abang sulung kepada bakal pengantin perempuan merupakan anak tidak sah taraf dan hak wali akan berpindah kepada anak lelaki ke dua @ wali yang lain di dalam keluarga tersebut.

Keperluan sijil kematian datuk pula dikehendaki apabila berlaku di dalam masyarakat penipuan turutan wali apabila seorang perempuan ingin berkahwin. Terdapat kes berlaku di mana seorang perempuan yang telah kematian bapa berkahwin dengan menjadikan adik beradik lelaki seibu sebapa sebagai wali sedangkan pada ketika itu datuk sebelah bapa masih ada & datuk sebelah bapa sepatutnya menjadi wali. Apabila berlaku keadaan tersebut, perkahwinan tersebut tidah sah & perlu difaraq dengan perintah mahkamah.


Dua keperluan yang sering menjadi pertikaian dalam masyarakat ini ada sebab & kepentingan mengapa ia diperlukan ketika seorang perempuan ingin berkahwin. Kesimpulan, prosedur perkahwinan bagi sebuah negeri itu bukan dengan tujuan menyusahkan masyarakat sebaliknya untuk menjaga maslahah ummah disamping kehendak hukum syara' sendiri.                        

Bertudung,menutup aurat @ sekadar berfesyen?




Aurat dari segi bahasa : keaiban, dari segi syarak : Bahagian-bahagian tertentu yang wajib ditutup. Secara keseluruhan, maksud aurat ialah menutup bahagian-bahagian badan tertentu bagi mengelak dari pandangan lelaki ajnabi.

Secara umum, perintah wajib bagi wanita untuk menutup aurat telah disebut di dalam Al-Quran dan juga Hadith.

Di dalam Al-Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud:

Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang}.” [Al-Ahzab: 59].

Daripada Hadith Riwayat Abu Daud daripada Saidatina Aisyah Radhiyallahu ‘anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya: “Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini (Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya).

Sekitar tahun 50 hingga akhir tahun 80'an, adalah sukar untuk melihat wanita Islam di Malaysia bertudung. Tudung yang dipakai hanyalah sekadar selendang yang menutupi sebahagian kepala dengan rambut yang masih terdedah. Zaman 70'an terkenal dengan fesyen kebaya ketat. Malah di sekolah rendah dan menengah juga pada ketika itu masih belum dikuatkuasa undang-undang bagi pelajar perempuan Islam wajib memakai tudung di sekolah. Pelajar perempuan bebas memilih untuk memakai skirt seragam labuh atau baju kurung. Pada tahun 90'an, secara perlahan-lahan, sekolah-sekolah di Malaysia mula mengenakan peraturan mewajibkan pelajar perempuan Islam untuk bertudung. Walaubagaimanapun, mengenakan tudung di khalayak ramai masih belum meluas.

Trend Bertudung Masa Kini



Memasuki alaf baru, semakin ramai wanita Islam bertudung tetapi lebih kepada mengikut perkembangan fesyen tempatan, sememangnya tidak salah untuk bergaya tetapi tudung hanyalah sekadar menutupi rambut tanpa mengikuti syariat sebenar. Memakai tudung mengikut syariat sebenar adalah melabuhkan tudung untuk menutupi dada dan juga bahu, Apa yang berlaku masa kini ialah tudung telah disalah guna. Sebahagian golongan artis yang bertudung sering menggayakan fesyen bertudung yang hanya sekadar menutup rambut tetapi tetap mengenakan pakain ketat hingga menjadi ikutan kepada peminat. Tidak sekadar golongan artis, majalah-majalah fesyen turur memapar stail tudung terkini. Terdapat juga fesyen tudung hanya memakai turban tetapi menampakkan perhiasan seperti anting-anting dan rantai leher. Hiasan bagi tudung tersebut kebiasaannya meriah dengan manik @ kerongsang. Paling banyak berlaku ialah memakai tudung dengan menampakkan sanggul rambut. 

Nabi SAW ada menyebut, “Dua golongan dari ahli neraka yang aku belum melihat kedua-duanya iaitu; (1) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu untuk memukul manusia dengannya, dan (2) Wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepadanya. Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya di mana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian-sekian jauh.”
(Direkodkan oleh Muslim, no. 2128)


Selain tudung yang menampak sanggul rambut, fesyen bertudung yang banyak menjadi ikutan wanita ialah fesyen tudung seperti rahib wanita kristian.


Apa pun fesyen tudung yang dipakai, ia mestilah menurut syariat Islam yang sebenar iaitu melabuhkan tudung hingga menutupi dada. Islam tidak melarang umat untuk bergaya asalkan tidak keterlaluan. Janganlah hanya sekadar memakai tudung tetapi masih lagi memakai pakaian ketat @ aurat tangan & kaki terdedah seperti gambar ini.



Cantik dipandang,inilah tudung yang sebenar

Friday, April 5, 2013

Keistimewaan dan Keutamaan Hari Jumaat



1.  Hari Paling Mulia


Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:

  • Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam
  • Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.
  • Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.
  • Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.
  • Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)

Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيْهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلاَ تَقَوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَة

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim r.a.)

Dalam riwayat Aus bin Aus Radhiyallahu ‘anhu pula menyatakan:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ قُبِضَ، وَفِيْهِ النَّفْخَةُ، وَفِيْهِ الصَّعِقَةُ …….

“Sesungguhnya seutama-utama hari kamu adalah hari Jumaat; pada hari ini Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini juga ia dimatikan, pada hari ini ditiupkan sangkakala (tanda kiamat), dan pada hari ini juga hari kebangkitan.”

2.  Hari Bagi Kaum Muslimin

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat, kerana merupakan ambilan dari kata ‘al-jamu’ yang ertinya berhimpun, kerana Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَذَرُ‌وا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9).

3.  Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi


Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjiddan mendirikan Solat Jumaat.
Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”


4. Hari Dihapuskan Dosa


Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Dari Salman Al-Farisi Radhiyallahu Anhu mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia hendak mendirikan solat yang sesuai dengan tuntutannya, lalu diam mendengarkan (dengan seksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (Dosa dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (HR. Bukhari)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).

5. Hari Berlakunya Qiamat


Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.: “Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)