Friday, April 5, 2013

Keistimewaan dan Keutamaan Hari Jumaat



1.  Hari Paling Mulia


Hari Jumaat adalah hari yang paling utama dan merupakan penghulu segala hari. Terdapat beberapa peristiwa yang terjadi pada hari Jumaat ini, di antaranya:

  • Allah SWT ciptakan Adam Alaihissallam
  • Nabi Adam alaihissallam dimasukkan ke dalam syurga.
  • Nabi Adam alaihissallam diturunkan dari syurga menuju bumi.
  • Allah mewafatkannya Nabi Adam Alaihissallam.
  • Hari Jumaat juga merupakan hari akan berlakunya Qiamat.

Dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Hari paling baik di mana matahari terbit pada hari itu adalah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan, dan pada hari itu juga Adam dimasukkan ke dalam syurga, serta diturunkan dari syurga. Pada hari itu juga kiamat akan terjadi dan pada hari tersebut terdapat suatu waktu dimana tidaklah seorang mukmin solat menghadap Allah mengharapkan kebaikan kecuali Allah akan mengabulkan permintannya.” (HR. Muslim)

Abu Hurairah Radhiyalahu ‘anhu meriwayatkan, bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda;

خَيْرُ يَوْمٍ طَلَعَتْ عَلَيْهِ الشَّمْسُ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ أُدْخِلَ الْجَنَّةَ، وَفِيْهِ أُخْرِجَ مِنْهَا، وَلاَ تَقَوْمُ السَّاعَةُ إِلاَّ فِي يَوْمِ الْجُمُعَة

“Sebaik-baik hari yang matahari terbit padanya adalah hari Jumaat; pada hari inilah Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini (Adam Alaihissalam) dimasukkan ke dalam syurga, dan pada hari inilah juga Baginda dikeluarkan dari syurga. Dan tidaklah kiamat akan terjadi kecuali pada hari ini.” (HR Muslim r.a.)

Dalam riwayat Aus bin Aus Radhiyallahu ‘anhu pula menyatakan:

إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ، فِيْهِ خُلِقَ آدَمُ، وَفِيْهِ قُبِضَ، وَفِيْهِ النَّفْخَةُ، وَفِيْهِ الصَّعِقَةُ …….

“Sesungguhnya seutama-utama hari kamu adalah hari Jumaat; pada hari ini Adam Alaihissalam diciptakan, pada hari ini juga ia dimatikan, pada hari ini ditiupkan sangkakala (tanda kiamat), dan pada hari ini juga hari kebangkitan.”

2.  Hari Bagi Kaum Muslimin

Hari Jumaat adalah hari berkumpulnya Umat Muhammad صلى الله عليه وسلم dalam masjid-masjid mereka yang besar untuk mengikuti solat dan sebelumnya mendengarkan dua khutbah jumaat yang mengandungi wasiat bertaqwa dan nasihat-nasihat, serta doa.

Al-Hafidz Ibnu Katsir berkata: “Hari ini dinamakan Jumaat, kerana merupakan ambilan dari kata ‘al-jamu’ yang ertinya berhimpun, kerana Umat Islam berkumpul pada hari itu setiap minggu di masjid-masjid. Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin berkumpul untuk menunaikan ibadah kepada-Nya.”

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ‌ اللَّـهِ وَذَرُ‌وا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ‌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli; Yang demikian itu lebih baik bagimu Jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Al-Jumaah 62: Ayat 9).

3.  Hari Ramai Malaikat Turun ke Bumi


Pada hari Jumaat juga, Allah SWT mengutus para malaikat turun ke muka bumi. Di tangan terdapat mereka tinta kalam emas dan kertas-kertas daripada perak, mereka juga berdiri dan menunggu di pintu-pintu masjid bagi mencatat nama-nama mereka yang hadir ke masjiddan mendirikan Solat Jumaat.
Apabila telah sempurna dan selesai Solat Jumaat, mereka kembali ke araysh untuk menyembahkan hasil catatannya kepada Allah SWT dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, kami telah catatkan nama mereka yang masuk masjid dan menunaikan Jumaat.”
Allah SWT berfirman: “Wahai Malaikat-Ku, demi kemuliaan dan kebesaran-Ku, sesungguhnya Aku telah ampunkan mereka, tidak berdosa sedikit pun.”


4. Hari Dihapuskan Dosa


Diampuni dosa-dosanya antara Jumaat tersebut dengan Jumaat sebelumnya. Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم : “Solat lima waktu (sehari semalam) dan Jumaat hingga Jumaat merupakan penebus-penebus dosa (ketika itu) selama tidak dikerjakan dosa-dosa besar” (Riwayat Muslim)

Dari Salman Al-Farisi Radhiyallahu Anhu mengatakan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Tidaklah seseorang mandi pada hari Jumaat dan bersuci semampunya, berminyak dengan minyak, atau memakaikan minyak wangi dari rumahnya, kemudian keluar (menuju masjid), dan dia tidak memisahkan dua orang (yang sedang duduk berdampingan), kemudian dia hendak mendirikan solat yang sesuai dengan tuntutannya, lalu diam mendengarkan (dengan seksama) ketika imam berkhutbah melainkan akan diampuni (Dosa dosanya yang terjadi) antara Jumaat tersebut dan Jumaat berikutnya.” (HR. Bukhari)

Salman Al Farisi berkata lagi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersuci sesuai kemampuan, merapikan rambutnya, memakai minyak wangi, lalu berangkat ke masjid, dan masuk masjid tanpa melangkahi sesiapa, kemudian solat sesuai tuntunan dan diam tatkala imam berkhutbah, nescaya diampuni dosa-dosanya di antara dua Jumaat.” (HR. Bukhari).

5. Hari Berlakunya Qiamat


Jumaat merupakan hari yang selalu dikaitkan dengan berlakunya ‘Qiamat’ (hari pembalasan). Dalam suatu hadis, Rasulullah صلى الله عليه وسلم ada menyebut bahawa: “Pada hari Jumaat juga Qiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis Riwayat Muslim r.a.)

Dalam hadis lain, Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : “Hari Yang Dijanjikan ialah Hari Qiamat. Hari Yang Disaksikan ialah Hari Arafah, dan Hari Yang Menyaksikan ialah Hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.”

Sabda Rasulullah صلى الله عليه وسلم.: “Pada hari itu Qiamat akan terjadi dan tidaklah seorang pun malaikat muqarrabun pun di sisi Allah Azzawajalla melainkan ia takut pada hari Jumaat, (tetapi) tidak langit dan tidak bumi melainkan ia merasa kasih pada hari Jumaat.” (Hadis Riwayat  Ibnu Majah dan  Al-Baihaqi)

No comments:

Post a Comment