Ibadah puasa merupakan salah satu daripada Rukun Islam. Puasa merupakan perkara asas untuk membina peribadi umat Islam. Apakah kepentingan ibadah puasa sehingga menjadi salah satu daripada Rukun Islam? Bagi orang yang mahu memeluk Islam, mereka diwajibkan membuat pengakuan & penyaksian keyakinannya kepada Allah & Rasul :"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah & Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah".
Pengakuan ini kemudiannya dibuktikan melalui sembahyang 5 waktu. Berbagai ikrar, janji & harapan kita bisikkan kepada Allah semasa sembahyang demi membuktikan kita taat tunduk (ruku' & sujud)kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal & mental kita menyerah diri kepada Allah. Ia menajamkan rasa kehambaan di dalam hati & menyuburkan rasa ketaatan kepada Allah di dalam jiwa.
Ibadah puasa jatuh no 3 iaitu selepas ibadah sembahyang. Kita diperintahkan supaya menahan lapar & dahaga di siang hari selama sebulan sekalipun makanan & minuman berada di hadapan kita. Ertinya Allah mahu mendidik kita untuk merasai susah, letih & menahan keinginan kepada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata. Orang yang jahil & kurang faham akan menganggap puasa sebagai satu penyeksaan & bebanan.
Apa sebenarnya yang Allah kehendaki dari ibadah puasa?
Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu & penting. Istilah kecewa@frust lahir daripada seseorang yang tidak dapat menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai.Kecewa adalah penyakit lumrah dalam masyarakat sekarang. Adakalanya penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.
Hal ini akan terus berlaku disebabkan kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya & berkuasa seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak taqdir Allah. Allah sudah tentukan bahawa setiap manusia itu akan diuji.
Tidak tahu bersabar adalah suatu kekurangan yang merbahaya. Terlalu banyak perkara dalam kehidupan manusia yang meminta agar kita dapat bersabar. Di dalam menunaikan perintah Allah & di dalam menghadapi musibah, kesabaran secara lahiriah & batiniah amat perlu. Imam Bukhari ketika bermunajat dengan Allah berbisik-bisik:"Bukan aku tidak sabar dengan ujian-Mu ya Allah, cuma hendak mengadu pada-Mu, tempat aku kembali nanti. Kepada-Mu aku memohon ketenangan, keampunan & mutmainnah".
Begitulah seharusnya hati orang Islam taktala berdepan dengan persoalan hidup. Mereka tunduk & patuh kepada kehendak Allah kerana merasakan segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan & kemahuan Allah. Malah mereka memuji-muji Allah kerana Maha Bijaksana & Maha Adil-Nya melakukan kejadian itu. Jika ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama air mata kesyukuran & jika berupa kesusahan, mereka bersabar & redha bersama air mata kesabaran.
Untuk tujuan inilah puasa itu diperintahkan, Allah sentiasa memberikan nikmat & musibah bagi menguji keimanan hamba-Nya. Kebahagian sebenar bagi seorang manusia adalah apabila dia dapt bersyukur & bersabar.
Apabila kita berpuasa bererti kita telah mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana Allah bukan kerana hal lain. Sekiranya hal ini dilatih selama sebulan berpuasa, ertinya kita telah membuat latihan jiwa untuk bersabar & untuk patuh menanggung kesusahan kerana Allah.
Jiwa yang tenang apabila berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah & kegagalan akan tunduk & sabar dengan ketentuan dari Allah. Kita boleh berikhtiar untuk elakkan kemalangan itu, tetapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah & memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa kehambaan di dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir & kuasa Allah. Inilah jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan & kegagalan samalah dengan orang yang tidak berpuasa. Maka jika puasa tidak membuahkan akhlak yang mulia dengan Allah & sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda Rasulullah saw: "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar & dahaga".
Kita berlindung dengan Allah daripada kerugian seperti itu. Wallahua'lam....
No comments:
Post a Comment